Monday 22 August 2016

TIDAK CUKUP SUSU...


Kepercayaan dan Kebenaran

Anggapan tidak cukup susu adalah salah satu sebab utama ibu memberhentikan penyusuan susu ibu terlalu awal atau memberi susu formula serta makanan lain kepada bayi sebelum tiba waktu yang sepatutnya. Ramai ibu tertanya-tanya sama ada susu badan mereka cukup untuk bayi mereka. Kebanyakan ibu dan ahli keluarganya akan beranggapan bahawa ibu tidak mempunyai susu yang mencukupi apabila sering berdepan dengan situasi di bawah.

• Bayi sering menangis.
• Bayi tidak tidur untuk jangkamasa yang panjang.
• Bayi tidak tenang semasa di payudara dan susah untuk menyusu dengan baik.
• Bayi menghisap jari atau tangannya.
• Bayi terlalu besar atau terlalu kecil.
• Bayi yang menyusu terlalu lama pada payudara pada satu-satu masa.
• Bayi menyusu terlalu kerap.
• Ibu merasakan susunya kelihatan cair.
• Tiada atau sedikit sahaja susu keluar apabila diperah.
• Payudara ibu tidak penuh atau lebih lembut dari biasa.
• Ibu tidak nampak susu meleleh keluar atau ibu tidak mengalami tanda-tanda reflek oksitoksin.
• Bayi masih mahu menerima susu gantian (susu formula) atau makanan lain apabila diberikan walaupun telah selesai menyusu susu ibu.

Situasi di atas mungkin menunjukkan bayi tidak mendapat cukup susu tetapi ini bukan petunjuk sebenar yang boleh dipercayai sepenuhnya. Ada beberapa tanda yang perlu diambil perhatian bagi menunjukkan ibu cukup susu iaitu:

• Bayi kelihatan kenyang dan tenang selepas menyusu. Biasanya bayi tertidur dan melepaskan sendiri payudara ibu.
• Bayi boleh bertindak-balas, mempunyai keanjalan otot yang baik dan kulit bayi tegang dan lembap.
• Selepas hari ke-2, bayi yang mendapat susu yang cukup akan menghasilkan lampin basah sebanyak 2 hingga 6 atau lebih dalam masa 24 jam (Jadual 1). Manakala, air kencingnya kelihatan cair dan jernih. Jika bayi diberi air masak sebagai tambahan kepada susu ibu, pengeluaran air kencingnya juga banyak tetapi berat badan bayi tidak akan bertambah dengan baik kerana kurang zat makanan. Bayi juga akan membuang air besar 3 hingga 8 kali dalam masa 24 jam dan kekerapannya semakin berkurangan apabila bayi berumur lebih dari satu bulan.
• Berat bayi bertambah mengikut umur di mana bayi membesar sehingga memerlukan pertukaran saiz pakaian.
• Ibu yang menyusukan bayi akan dapat merasakan payudara yang penuh sebelum menyusu akan menjadi lembik apabila bayi selesai menyusu.
• Ibu rasa dahaga dan berpeluh selepas sesi penyusuan.
• Semasa penyusuan, payudara yang tidak dihisap oleh bayi turut mengeluarkan susu dan tanda-tanda ini menunjukkan ibu menghasilkan cukup susu.


Ibu kerap khuatir apabila bayi berumur bawah 4 hingga 6 minggu mengeluarkan najis setiap kali selepas menyusu. Perkara ini adalah normal bagi bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif. Terdapat juga bayi yang tidak mengeluarkan najis selama beberapa hari. Namun, selagi bayi berasa selesa, perut tidak membengkak, tidak meragam dan masih menyusu seperti biasa, ibu tidak perlu risau. Walau bagaimanapun, jika ibu berasa ragu, sila dapatkan nasihat doktor bagi mendapatkan kepastian.

Berat badan bayi terus meningkat apabila diberikan susu ibu sejak hari pertama kelahiran lagi. Namun, pada awal kelahiran, bayi kehilangan berat badan sekitar 5% hingga 7% disebabkan oleh pembuangan mekonium dan kehilangan air daripada badan. Penurunan berat badan ini membuatkan para ibu memberikan air kosong sebagai tambahan. Keadaan ini akan meningkatkan risiko kehilangan berat badan lebih banyak berbanding dengan bayi yang diberikan susu ibu sahaja. Purata kenaikan berat badan sejak lahir hingga 4 hari adalah sebanyak 170 gram (6 oz). Manakala kadar normal pertambahan berat adalah di antara 150 gram hingga 240 gram.


Berat badan bayi akan meningkat sebanyak 2.5 kali ganda hingga 3 kali ganda daripada berat lahir semasa bayi berusia 1 tahun. Panjang bayi pula bertambah sebanyak 50% dan ukur lilit kepala bayi bertambah sebanyak 33% semasa mereka berusia 1 tahun.


PERHATIAN KEPDA IBU YANG MENYUSUKAN BAYI DENGAN SUSU IBU

• Bayi yang diberi susu ibu akan mempunyai otot yang lebih pejal berbanding bayi yang diberi susu formula.
• Tidak perlu menimbang  bayi sebelum dan selepas menyusu kerana ia tidak memberi gambaran yang tepat tentang berapa banyak susu dihasilkan dan dikeluarkan.  Ia juga boleh mengurangkan keyakinan ibu dan mendorong ibu memberi minuman lain kepada bayinya.
• Berat badan bayi yang masih tidak meningkat dengan baik walaupun telah diberi susu ibu dengan kerap dan teknik yang betul, mungkin mempunyai masalah kesihatan. Rujuk bayi untuk rawatan lanjut.
• Bayi yang sentiasa mahu menyusu dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda masalah kesihatan tetapi tidak meningkat berat badan dengan baik, mungkin tidak mendapat susu yang mencukupi. Ini selalunya disebabkan oleh teknik penyusuan ibu yang kurang berkesan.
• Penyusuan pada sebelah payudara yang diberhentikan dengan terlalu awal sebelum berpindah ke payudara yang sebelah lagi akan menyebabkan bayi hanya mendapat susu awal (fore-milk) dan tidak susu akhir (hind-milk). Susu awal mempunyai kandungan laktosa yang tinggi dan rendah lemak.
• Susu akhir (hind-milk) mempunyai kandungan lemak yang tinggi yang membuatkan bayi rasa kenyang. Memberi penyusuan yang lebih kerap dengan jarak penyusuan yang pendek antara 30 hingga 40 minit boleh memastikan bayi mendapat susu yang tinggi kandungan lemak dari susu akhir yang masih tinggal dari penyusuan sebelumnya.

Setiap ibu perlu sentiasa memerhatikan tanda-tanda yang telah dinyatakan di atas sebagai panduan untuk mengukur tahap kesihatan dan tumbesaran bayi yang sempurna. Tanggapan “tidak cukup susu” mungkin boleh diperbetulkan melalui pembacaan dan perkongsian daripada ibu-ibu yang telah berjaya menyusukan bayi mereka secara eksklusif. Sentiasa berfikiran positif dan bertindak di atas kebenaran bagi membentuk generasi yang lebih sihat pada masa yang akan datang.

RUJUKAN :

1. World Health Organisation (WHO) and UNICEF. 2009. BFHI Section 3: Breastfeeding Promotion And Support In A Baby-Friendly Hospital – 20-Hour Course Module.

2. Ministry of Health Malaysia. 2009. Breastfeeding Promotion and Support- A Training Course for Health Professional.

3. Faridah Idris. 2013. Buku “Membesar Anak Hebat Dengan Susu Ibu”. PTS Media Group Sdn. Bhd. Malaysia

(Maklumat diambil dari portal MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia: http://www.myhealth.gov.my/tidak-cukup-susu-kepercayaan-dan-kebenaran/)
Penyakit KENCING MANIS


APAKAH ITU DIABETES (KENCING MANIS)?

Diabetes adalah salah satu penyakit kronik di mana ianya merupakan masalah yang besar di kebanyakan negara-negara di dunia. Di Malaysia satu kajian telah dilakukan pada tahun 2011 di mana di anggarkan lebih dari 3 juta rakyat Malaysia menghidapi diabetes.

Diabetes adalah satu keadaan di mana tahap gula di dalam darah anda adalah tinggi dari normal. Ia adalah satu daripada faktor utama untuk mendapat sakit jantung atau angin ahmar.

Diabetes berlaku apabila pankreas dalam badan tidak lagi menghasilkan insulin atau badan tidak boleh menggunakan insulin sendiri dengan berkesan. Makanan yang kita makan akan bertukar kepada gula dalam badan kita. Insulin akan digunakan untuk membawa gula dalam saluran darah kedalam sel dan tisu, di mana ia akan digunakan untuk membekalkan tenaga.

Apabila kekurangan insulin, gula tidak boleh dibawa ke dalam sel dan tisu, maka paras gula dalam badan akan meningkat.

Ini akan merosakkan sel yang memerlukan glukosa untuk tenaga dan juga ini akan merosakkan organ dan tisu yang didedahkan kepada tahap glukosa yang tinggi.

DUA JENIS DIABETES

Terdapat dua jenis diabetes utama:

Jenis 1 – “Diabetes atau Insulin Dependent Diabetes Mellitus” (bergantung pada Insulin)

• Biasanya berlaku pada kanak-kanak dan remaja
• Biasanya tidak dapat menghasilkan insulin

Jenis 2 – “Diabetes atau Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus” (tidak bergantung pada insulin)

• Jenis paling biasa ditemui dan lebih daripada 90% penghidap diabetes adalah penghidap jenis ini.
• Selalunya pada orang yang berumur dan berat badan berlebihan.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi jenis kumpulan individu yang berada di sempadan tahap gula yang tinggi, yang dikenali sebagai Impaired Glucose Tolerance atau kumpulan IGT.

APAKAH TANDA-TANDA AMARAN DIABETES?

Penyakit diabetes sering berlaku secara senyap, terutamanya pada peringkat awal. Walau bagaimanapun, gejala yang biasa dialami ialah:

• Haus/dahaga (haus yang berlebihan)
• Letih
• Berat badan menurun
• Penglihatan kabur
• Otot lemah
• Gatal

Lain-lain gejala termasuk:
• Pengidap penyakit kulit yang berpanjangan
• Luka yang lambat sembuh
• Kencing yang kerap
• Gatal pada bahagian kemaluan
• Rasa kebas

Jangan bergantung kepada gejala untuk mengetahui anda adalah penghidap diabetes. Jalankan ujian di klinik kesihatan berdekatan.

SIAPAKAH YANG MEMPUNYAI RISIKO TINGGI UNTUK MENDAPAT DIABETES?

Sesiapa saja tidak kira umur boleh menghidapi diabetes. Walau bagaimanapun anda mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidapi diabetes jika mempunyai perkara berikut:

• Berumur 35 tahun atau lebih tua. Semakin tua semakin tinggi risiko anda untuk menghidapi diabetes
• Berat badan berlebihan atau obesiti.Semakin berat badan anda bertambah, semakin tinggi risiko anda menghidap diabetes.
• Impaired glucose tolerance (IGT).
• Latar belakang keluarga yang mempunyai diabetes
• Sejarah diabetes pada kehamilan terakhir.
• Sejarah mempunyai bayi yang besar (berat kelahiran adalah 4.0 kg atau lebih ).
• Tekanan darah tinggi
• Tidak aktif -gaya hidup sedentari
• Faktor pemakanan -Pengambilan makanan berlemak tinggi dan kurang pengambilan makanan berserat
• Tahap lemak/ kolesterol yang tinggi .

KOMPLIKASI DIABETES

Diabetes adalah masalah kronik dan boleh mengganggu banyak organ bergantung kepada kawalan gula dalam darah. Tanpa pengurusan yang betul ianya boleh mendatangkan berbagai komplikasi seperti penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang, buta dan kerosakan saraf.

KEADAAN KECEMASAN

• Hipoglisemia - ialah apabila tahap gula dalam darah adalah rendah. Anda akan mengalami sakit kepala, rasa pening, pusing, ketar tangan dan berpeluh. Anda boleh pengsan atau di serang sawan jika kandungan gula anda adalah terlalu rendah

• Diabetes Ketoacidosis - adalah keadaan serius apabila tahap gula terlalu tinggi. (Ini biasanya bermaksud anda benar-benar kekurangan insulin). Ia juga boleh di hasilkan oleh tekanan, jangkitan kuman, kecederaan, penggunaan ubatan atau kemasukan wad bagi angin ahmar atau sakit jantung. Anda akan mengalami mengantuk dan tidak sedar diri.

• Hiperglisemia - adalah apabila tahap gula dalam darah tinggi. Anda akan mengalami mengantuk dan tidak sedar diri

KANDUNGAN GULA DALAM DARAH TINGGI YANG BERPANJANGAN (KRONIK)

• Ini menyebabkan kerosakan jangka panjang:
• Mata - Katarak, pendarahan dalam mata dan menyebabkan buta
• Saraf - Kebas atau kehilangan deria rasa pada tangan dan kaki dimana pesakit boleh mendapat kecederaan tanpa disedari. Ini boleh menyebabkan luka pada kaki dan gangrene. Sekiranya melarat, mungkin perlu menjalankan pembedahan amputasi untuk mengelakkan jangkitan daripada merebak ke seluruh badan.
• Otak - Angin ahmar
• Buah pinggang - Kegagalan buah pinggang
• Jantung - Sakit jantung

Berita baik adalah jika anda dapat mengawal diabetes dengan baik, ini akan membantu mengelakkan atau melambatkan komplikasi

APAKAH YANG SEPATUTNYA SAYA LAKUKAN UNTUK MENGELAKKAN DARI MENDAPAT DIABETES?

Kawalan diabetes yang baik adalah anda boleh mengawal tahap gula dalam darah menghampiri tahap normal. Ini boleh di capai dengan kaedah berikut:

• Mengawal pengambilan makanan - Mengambil makanan seimbang kerana pengambilan makanan berlebihan akan meninggikan tahap gula dalam darah

• Melakukan senaman fizikal - Senaman dapat mengurangkan kandungan gula dalam darah dan membantu insulin bekerja dengan lebih berkesan. Senaman juga dapat membantu anda mengurangkan berat badan.

• Ubatan - Jika anda pengidap diabetes jenis 1, anda memerlukan suntikan insulin. Jika anda pengidap diabetes jenis 2, anda mungkin hanya memerlukan pengambilan ubat hipoglisemia untuk menurunkan tahap gula dalam darah dan sesetengah mungkin memerlukan suntikan insulin.

Walaupun anda menghidap diabetes, anda masih boleh menjalani kehidupan normal dan aktif.

ANDA BOLEH MENJAGA DIRI ANDA SENDIRI

Penjagaan secara umum:
• Penjagaan kulit
• Mandi setiap hari
• Keringkan semua bahagian badan dengan sempurna
• Merawat luka dan calar dengan segera
• Berjumpa doktor jika luka tidak sembuh selepas 2 – 3 hari.

Penjagaan kaki
• Basuh kaki setiap hari
• Keringkan semua bahagian kaki dengan sempurna terutama antara celah-celah jari kaki
• Periksa kaki anda setiap hari untuk luka, calar, melecur atau apa-apa perubahan warna kulit.
• Potong kuku jari kaki secara lurus
• Tukar stokin anda setiap hari
• Jangan berjalan tanpa kasut di luar rumah
• Selalu pakai kasut yang lembut dan sesuai diguna luar rumah.

Mengawasi diri sendiri
• Anda digalakkan untuk melakukan pengawasan glukosa dalam darah. sendiri. Kerap memeriksa tahap glukosa dalam darah boleh memberitahu keberkesanan cara anda mengawal diabetes
• Penjagaan gigi
• Kerap menjalani pemeriksaan mata
• Mengelakkan minuman keras
• Berhenti merokok

APAKAH YANG PATUT SAYA LAKUKAN UNTUK MENGELAKKAN DARI MENDAPAT PENYAKIT DIABETES?

Diabetes boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat:

• Makan makanan berkhasiat dan kalori terkawal dapat membantu mengawal tahap gula dalam darah, mengekalkan berat badan, mengawal paras kolesterol, mengurangkan tekanan darah tinggi dan mencegah penyakit jantung.

• Senaman dapat memperbaiki kecergasan, membakar kalori dan oleh itu dapat mengurangkan lemak dalam badan dan mengawal berat badan anda. Senaman merendahkan kadar gula dalam darah dan membantu tubuh anda untuk menggunakan gula dalam darah dengan baik.

• Kajian menunjukkan obesiti mempunyai hubungkait dengan diabetes. Kekalkan berat badan yang unggul

KUMPULAN SOKONGAN

• Persatuan Diabetes Malaysia (PDM)
• National Diabetes Institute (NADI)
• National Kidney Foundation (NKF)
• EMKAY (Yayasan EMKAY)

(Maklumat diambil dari MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia: http://www.myhealth.gov.my/diabetes-mellitus-3/)
MASALAH PENELANAN DI KALANGAN WARGA EMAS


PENELANAN NORMAL

Proses penelanan merupakan satu proses yang kompleks. Proses penelanan berlaku apabila otak memproses maklumat untuk membolehkan aktiviti fizikal berlaku. Seterusnya, setiap fasa penelanan akan berinteraksi antara satu dengan yang lain. Setiap fasa penelanan akan mempengaruhi kebolehan fasa seterusnya berfungsi dengan baik. Terdapat empat fasa penelanan iaitu fasa pra-oral, oral, faringeal dan esofageal.


PENELANAN DAN WARGA EMAS

Pertambahan usia seorang individu dari bayi ke warga emas menyebabkan perubahan pelbagai proses fizikal dan fisiologi manusia. Antara perubahan fizikal adalah:

1. Perubahan ketegangan kulit
2. Otot menjadi lemah
3. Tulang menjadi reput
4. Pengurangan daya ingatan

Manakala perubahan proses fisiologi yang berlaku akibat pertambahan usia:
1. Kelambatan penyembuhan luka,
2. Kelemahan sistem imun badan
3. Proses penelanan/makan semakin tidak efisien

Kerap kali kita mendengar warga emas menyatakan perubahan keupayaan mereka untuk makan dan menelan. Antara rungutan yang biasa didengari adalah “tidak berselera”, “susah nak kunyah”, “susah nak telan” dan “rasa makanan tersangkut di tekak”.

Masalah penelanan juga dikenali sebagai disfagia (dysphagia). Sebarang aduan berkaitan disfagia di kalangan warga emas perlulah diberi perhatian yang sewajarnya bagi mengelak sebarang komplikasi kesihatan yang lain.


MASALAH PENELANAN WARGA EMAS

Masalah penelanan di kalangan warga emas semakin mendapat perhatian serius di kalangan ahli professional kesihatan. Amerika Syarikat telah menganggarkan tujuh hingga sepuluh peratus warga emas mengalami disfagia (Spieker, M.R. 2000).

Peningkatan usia selalunya menyebabkan masalah kurang daya ingatan. Masalah kurang ingatan dan kognitif yang serius seperti nyanyuk (demensia) boleh menjejaskan keupayaan seorang individu untuk menelan dengan selamat dan berkesan. Antara penyakit yang mempunyai komplikasi nyanyuk adalah penyakit Alzhiemer.

Tiga kumpulan utama orang yang dilaporkan disfagia di kalangan warga emas adalah nyanyuk, angin ahmar dan penghuni rumah orang tua.


KESAN NYANYUK TERHADAP PENELANAN

Nyanyuk dan kecacatan kognitif boleh memberi implikasi kepada penelanan terutama pada fasa pra-oral  dan fasa oral. Gangguan pada fasa oral akan memberi kesan kepada penelanan fasa faringeal. Hal ini boleh menyebabkan keselamatan paru-paru terjejas semasa penelanan.

Disfagia yang kerap berlaku dikalangan warga emas adalah apabila, proses penelanan menjadi sangat perlahan. Disfagia fasa faringeal pula boleh berlaku apabila menelan,saluran pernafasan yang lambat tertutup. Ini menyebabkan makanan/minuman masuk ke dalam saluran pernafasan.

1. Jangkitan Kuman di Paru-paru (Aspiration Pneumonia)
- Warga emas lebih berisiko terdedah kepada aspek keselamatan penelanan. Keadaan ini boleh memberikan implikasi yang besar kepada kesihatan disebabkan oleh sistem imun yang semakin lemah. Apabila makanan masuk ke dalam saluran pernafasan semasa menelan, mereka senang menghadapi jangkitan kuman di paru-paru.Keadaan ini boleh berlaku sama ada ketika makan atau apabila orang lain menyuapkan makanan. Jangkitan kuman di paru-paru seringkali menjadi punca kepada kematian pesakit warga emas.

2. Kekurangan Zat Makanan.
- Kekurangan pengambilan makanan boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan dehydration. Warga emas yang nyanyuk sering memberi alasan tiada selera, sudah kenyang dan enggan makan/minum. Kesannya, individu tersebut mengalami kehilangan berat badan dan memerlukan bantuan orang lain untuk makan.

3. Penggunaan Tiub Pemakanan
- Bergantung kepada jenis diagnosa dan tahap keterukan disfagia, pesakit perlu memberi perhatian terhadap jenis makanan yang boleh diambil melalui mulut.Bagi pesakit yang tidak selamat untuk makan melalui mulut, tiub pemakanan (nasogastric tube) akan dicadangkan. Sehingga disfagia pesakit pulih atau menunjukkan peningkatan, pesakit perlu mendapatkan zat makanan melalui susu yang dicadangkan oleh pegawai dietetik.

Terdapat dua jenis tiub susu secara amnya;
- Nasogastric tube: tiub dimasukkan melalui hidung
- Gastrostomy feeding tube : pembedahan kecil di perut untuk memasukkan tiub.

Ramai pesakit atau ahli keluarga enggan menerima cadangan memakai tiub. Penggunaan tiub pemakanan boleh memberikan kesan psikologi seperti kemurungan, kesedihan serta kurang bersosial. Oleh yang demikian, adalah penting untuk ahli keluarga berbincang bersama pakar yang terlibat sebelum membuat sesuatu keputusan.


MENGATASI DAN MERAWAT DISFAGIA

Untuk menangani masalah disfagia di kalangan warga emas, satu pasukan pelbagai profesional (interdisciplinary team) diperlukan. Pakar yang terlibat di dalam pasukan tersebut adalah terapis pertuturan-bahasa, pakar perubatan warga emas (geriatrik) dan pegawai dietetik.

Peranan terapis pertuturan-bahasa dalam pengendalian disfagia adalah:
1. Menjalankan penilaian disfagia tanpa instrumen (penilaian oral-motor)
2. Menjalankan penilaian disfagia menggunakan instrumen iaitu Flexible Endoscopy Evaluation of Swallowing dan Videoflouroscopy of Swallowing Study (hyperlink artikel, 2015 Ujian Instumentasi/Peralatan Berteknologi Tinggi Penelanan)
3. Mencadangkan intervensi disfagia yang bersesuaian
4. Menjalankan rehabilitasi penelanan  (hyperlink artikel 2015, Behavioral Feeding Management)

Pakar geriatrik berperanan dalam memastikan aspek perubatan dinilai dan dirawat sebagaimana yang sepatutnya.

Manakala pegawai dietetik berperanan dalam memastikan jumlah makanan/minuman yang diambil oleh pesakit mencukupi berdasarkan keperluan perubatan dan keperluan harian pesakit.

KESIMPULAN

Pesakit disfagia dan ahli keluarga dinasihatkan untuk berbincang dengan pakar yang terlibat sebelum mengambil sesuatu keputusan yang melibatkan nyawa. Sebarang persoalan boleh diajukan kepada pakar yang berkenaan.

(maklumat diambil dari MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia: http://www.myhealth.gov.my/masalah-penelanan-di-kalangan-warga-emas)